My Tulang Belakang :D

Wednesday, July 9, 2014

Allah Masih Sayangkan Aku

Ya Allah
Dulu aku pernah tersesat
Dulu aku pernah terleka
Dulu aku pernah terlalai
Dengan segala keseronokan duniaMu
Dengan segala kemewahan hartaMu

Namun
KasihMu begitu indah Ya Allah
SayangMu begitu tinggi Ya Allah
Melalui hambaMu Engkau utuskan hidayahMu
Kau terangkan jalanku yang gelap
Kau sinarkan hidupku yang malap
Dengan kasih sayangMu
Kau bimbing aku kembali kepadaMu

Tapi
Aku lupa Ya Allah
Aku alpa Ya Allah
Sesungguhnya Engkau telah berfirman

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. ” (Al-Ankabut: 3)

Sungguh Ya Allah
Jalan menuju syurgaMu itu
Tak mudah seperti disangkakan
Disaat aku cuba mendekatiMu
Ujian demi ujian Kau turunkan kepadaku
Disaat aku belajar mengenaliMu
Cubaan demi cubaan menghujaniku

Ya Allah
Ampunkan aku
Aku gagal dalam ujianMu
Aku lemah menghadapi cubaanMu
Sekali lagi aku terjatuh
Sekali lagi aku tersasar
HidayahMu itu telah aku siakan
PetunjukMu itu telah aku abaikan
Keseronokan dan kemewahan duniaMu
Kembali menjadi sahabatku

Tapi Ya Allah
Sungguh tak ku sangka
KasihMu pada hambaMu sangat tinggi
SayangMu pada hambaMu tiada tandingan
Ujian dan cubaan Engkau berikan
Dengan pertolongan Engkau susuli
Kau paut tanganku bersamaMu
Kau atur langkahku menujuMu
Sehingga aku kembali berdiri

Ya Allah
Aku redha atas segala ketentuanMu
Aku pasrah atas segala yang terjadi
Aku terima segala yang Engkau tuliskan untukku
Kerana Engkau adalah sebaik-baik perancang

Justeru itu Ya Allah
Perkenankanlah doa hambaMu
Permudahkanlah aku melalui jalanMu
Turunkanlah pertolonganMu dalam setiap langkahku
Jangan Engkau menguji aku melebihi kemampuanku
Dan tetapkanlah hatiku dalam keimananMu
Amin, Amin, Amin
Ya Rabbal Alamin

Terima kasih Ya Allah
Syukur Alhamdulillah

Nukilan: Hajar Yusof

No comments:

Post a Comment

mai pakat2 komen kat cni mai~ :D

Note: Only a member of this blog may post a comment.